Your Title

KUALA LUMPUR: Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini akan terus mengangkat isu sindiket penipuan pekerjaan di rantau Asia Tenggara bagi membanteras permasalahan berkenaan.

Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin berkata isu itu sudah mula dibincangkan pada Pemukiman Menteri Luar ASEAN di Langkawi, Kedah baru-baru ini.

Beliau berkata kerjasama antara negara-negara ASEAN bagi membanteras isu itu juga akan ditingkatkan menerusi Polis ASEAN (ASEANAPOL).

“Isu penipuan pekerjaan ini tidak akan sunyi sepanjang Kepengerusian ASEAN, ia akan dibincangkan dan kita akan cari jalan terbaik bagi penyelesaian yang lebih tuntas untuk membanteras sindiket penipuan ini dan juga penipuan pekerjaan yang berlaku di rantau Asia Tenggara ini.

“Kita tahu sebelum ini, ia dibangkitkan di Labuan Bajo, Indonesia, diikuti di Vientiane, Laos. Jadi isu ini juga kita akan angkat pada tahun ini,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Mohamad menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa Mohd (BN-Tampin) sama ada isu sindiket penipuan pekerjaan akan dibawa Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini.

Beliau berkata antara contoh kerjasama negara ASEAN yang terlibat dalam membanteras sindiket penipuan pekerjaan ialah pihak berkuasa Myanmar telah menyerahkan 320 orang warga asing dari pelbagai negara termasuk Malaysia, yang terjebak dengan sindiket penipuan pekerjaan di negara itu.

“Kesemua mangsa ini telah pun ditempatkan di Thailand melalui National Referral Mechanism untuk diperiksa identiti mereka, sejauh mana penglibatan mereka dan termasuk juga warganegara kita sendiri.

“Selepas proses itu selesai semua mangsa ini akan dihantar pulang ke negara masing-masing,” katanya.