GUA MUSANG: Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) menganjurkan Program Mesra Rakyat bagi memudahkan penduduk di tiga pos pedalaman dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri mendapatkan pelbagai perkhidmatan kerajaan.

Ketua Pengarah JAKOA Datuk Sapiah Mohd Nor berkata inisiatif itu turut melibatkan pelbagai agensi termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Kementerian Kesihatan, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) serta Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri.

“Pos Simpor, Pos Pasik dan Kuala Wook dipilih sebagai lokasi kembara kali ini yang berlangsung selama dua hari bermula semalam. Inisiatif ini merupakan hasil penyelarasan pelbagai agensi,“ katanya kepada pemberita sempena Program Mesra Rakyat di Pos Pasik di sini hari ini.

Sementara itu, ADUN Nenggiri Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata sambutan kepada program ini amat menggalakkan dengan ramai penduduk tidak melepaskan peluang memanfaatkan peluang untuk berurusan dengan pelbagai agensi kerajaan.

Beliau berkata antara yang paling mendapat sambutan ialah kaunter JPN yang menerima kira-kira 140 permohonan penggantian kad pengenalan, 10 permohonan pendaftaran lewat kelahiran serta 145 permohonan MyKid.

“Sebanyak 138 khidmat nasihat juga diberikan kepada penduduk berkaitan urusan dokumentasi dan hak-hak kewarganegaraan,” katanya.

Sementara itu, Zulaina Alim, 30, yang menetap di Pos Pasik berkata dia akhirnya berjaya mendaftarkan kelahiran anaknya yang kini berusia 12 tahun.

Wanita suku Temiar itu berkata anaknya dilahirkan di Klinik Kesihatan Rancangan Pengumpulan Semula Kuala Betis, namun dia terpaksa segera pulang ke kampung yang terletak lebih 70 kilometer dari Gua Musang selepas bersalin, menyebabkan urusan pendaftaran tertangguh selama lebih satu dekad.

“Hari ini saya hadir semata-mata untuk membuat permohonan daftar kelahiran dan Alhamdulillah, pendaftaran berjalan lancar. Anak akhirnya akan memiliki surat beranak,” katanya.

Program Mesra Rakyat dianjurkan JAKOA dan rakan agensi bagi membantu memudahkan urusan penduduk selain membina kepercayaan masyarakat pedalaman terhadap peranan agensi kerajaan.