KEPALA BATAS: Beberapa jalan utama di daerah Seberang Perai Utara akan ditutup bagi memberi laluan kepada perlumbaan Peringkat 2 Jelajah Le Tour de Langkawi 2025 pada hari Isnin.
Ketua Polis Daerah SPU ACP Anuar Abdul Rahman menyatakan acara pelepasan peringkat tersebut bermula di Padang Besar, Perlis sebelum berakhir di hadapan Institut Latihan Perindustrian Kepala Batas.
“Bagi laluan di daerah SPU, kayuhan akan bermula dari Jambatan Merdeka melalui Bumbung Lima, Jalan Dato’ Haji Ahmad Badawi, Jalan Tun Hamdan Sheikh Tahir dan berakhir di ILP Kepala Batas,” katanya dalam satu kenyataan.
Penutupan jalan akan bermula pada jam 1.30 tengah hari dan dijangka dibuka semula pada jam 6 petang selepas perlumbaan tamat.
Anuar menasihatkan pengguna jalan raya supaya merancang perjalanan dengan menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan terutamanya di sekitar Jalan Tun Hamdan Sheikh Tahir.
Antara laluan alternatif yang dicadangkan ialah dari Kepala Batas ke Tasek Gelugor melalui lampu isyarat Universiti Sains Malaysia dan ke Persiaran Seksyen 4 Putera Bertam serta ke lampu isyarat Taman Mekarsari.
Pengguna jalan raya juga boleh menggunakan laluan dari Tasek Gelugor ke Kepala Batas melalui lampu isyarat Taman Mekarsari dan melalui Persiaran Seksyen 4 Putera Bertam ke lampu isyarat USM.
Penutupan turut melibatkan Plaza Tol Bertam daripada arah utara dan selatan untuk keselamatan peserta perlumbaan.
Pengguna dari arah utara ke selatan boleh menggunakan susur Sungai Dua sebagai alternatif memintas kawasan perlumbaan.
Manakala pengguna dari arah selatan ke utara boleh memilih susur Sungai Dua atau keluar di Plaza Tol Sungai Petani Selatan.
Orang ramai yang mempunyai pertanyaan boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah SPU di talian 04-5762222 untuk maklumat lanjut.
Mereka juga boleh menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik SPU di 04-5741241 bagi mendapatkan bantuan berkaitan laluan alternatif.
LTdL25 akan menyusuri semua 12 negeri di Semenanjung Malaysia sepanjang lapan peringkat saingan.
Perlumbaan basikal berprestij itu membabitkan jarak keseluruhan 1,243.5 kilometer yang bermula di Pulau Langkawi pada hari Ahad.
Acara tersebut dijadualkan berakhir di hadapan KLCC, Kuala Lumpur pada 5 Oktober ini. – Bernama