SEREMBAN: Setiausaha Agung DAP Anthony Loke menegaskan bahawa pengibaran Jalur Gemilang perlu dilakukan dengan penuh hormat dan semangat patriotik.
Beliau mengingatkan semua pihak agar tidak memandang remeh dalam hal ini.
“Kita memberikan peringatan kepada semua orang supaya jangan memandang remeh kepada bendera, apabila dikibarkan perlu dilakukan secara betul dan hormat... mesti ada sensitiviti, tapi kadang-kala ada kesilapan yang mungkin tidak disengajakan,“ kata Loke selepas melancarkan Bulan Kemerdekaan Peringkat Parlimen Seremban di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chan Wa.
Beliau mengulas insiden pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di SJKC Chung Hua, Port Dickson pada Jumaat lepas.
Menurut kenyataan bersama Lembaga Pengelola, PIBG, dan pentadbiran sekolah, ia merupakan kecuaian tidak disengajakan.
Loke turut menekankan pentingnya pendidikan tentang makna sebenar bendera negara kepada pelajar.
“Sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya berasa bangga kerana memiliki sebuah negara yang merdeka dan mempunyai identiti tersendiri, termasuklah Jalur Gemilang,“ ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Loke yang juga Pengerusi DAP Negeri Sembilan menyatakan usul pelantikan senator akan dibentangkan di DUN Negeri Sembilan esok.
Beliau membidas tindakan Kelab Veteran DAP negeri yang memprotes cadangan pelantikan senator dari luar negeri.
“Tindakan yang diambil oleh mereka tidak wajar dan amat tidak sensitif.
Jika mereka tidak berpuas hati, terdapat saluran dalaman untuk menyuarakan rasa tidak puas hati,“ tegasnya. – Bernama