KUALA LUMPUR: Polis selesai merakam keterangan Ketua Editor dan Timbalan Ketua Penyunting Sin Chew Daily hari ini bagi membantu siasatan berhubung isu penyiaran ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap di muka hadapan akhbar itu.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata proses itu berlangsung selama tiga jam di Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman.
“Keseluruhan proses selesai pada 3.45 petang,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Ketua Editor itu dikatakan berperanan meluluskan penyiaran ilustrasi tersebut manakala Timbalan Ketua Penyunting terbabit pula adalah pereka grafik gambar berkenaan.
Razarudin berkata setakat ini, pihaknya menerima 40 laporan berhubung isu itu di seluruh negara dan kes disiasat mengikut Seksyen 3(1)(c) Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 serta Seksyen 4(1)(b) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Selasa lepas, akhbar berbahasa Cina itu menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang di muka hadapannya sempena liputan lawatan negara Presiden China Xi Jinping ke Malaysia namun gambar bendera tersebut tidak lengkap.
Insiden itu mendapat kiritikan pelbagai pihak termasuk Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang bertitah pihak pengurusan dan jabatan pengarang akhbar berkenaan seharusnya lebih peka serta menyemak sesuatu bahan terlebih dahulu sebelum dicetak untuk siaran.
Berikutan itu, akhbar berkenaan tampil memohon maaf dan menjelaskan bahawa ia adalah kesilapan teknikal yang tidak disengajakan.