KUALA LUMPUR: Seorang saksi dalam saman yang difailkan oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terhadap anak tiri Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu Riza Shahriz Abdul Aziz di Mahkamah Tinggi di sini hari ini enggan menjawab soalan berhubung program perlindungan saksi .

Bekas peguam 1MDB Jasmine Loo Ai Swan, 51, memaklumkan mahkamah bahawa beliau tidak dibenarkan menjawab atau memberi kenyataan berhubung program itu di bawah undang-undang.

“Saya minta maaf, saya tidak boleh komen. Ia tidak sesuai,“ katanya semasa disoal balas oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Riza Shahriz.

Loo adalah saksi bagi pihak plaintif iaitu 1MDB dan tiga anak syarikatnya - 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited dan 1MDB Energy (Langat) Limited - dalam saman terhadap Riza Shahriz serta dua syarikatnya.

Ketiga-tiga defendan didakwa menyalah guna dana kira-kira US$248 juta yang diterima untuk kepentingan peribadi termasuk membiayai penerbitan filem serta membeli pelbagai hartanah.

Muhammad Shafee: Anda dibawa untuk hadir di mahkamah terbuka... anda juga tidak disembunyikan oleh skrin yang membolehkan hanya suara anda didengari. Jadi, adakah anda diletakkan di bawah program perlindungan saksi?

Loo: Saya tidak dapat menjawab soalan itu.

Muhammad Shafee: Sebenarnya anda bersembunyi di sebalik program perlindungan saksi.

Loo: Sekali lagi saya tidak boleh menjawab soalan itu atau memberikan sebarang kenyataan. Saya telah dinasihatkan oleh para peguam saya di AmerBon agar tidak memberikan sebarang komen.

Muhammad Shafee turut mencadangkan bahawa Switzerland ingin mengekstradisi Loo untuk pendakwaan yang dikaitkan dengan 1MDB namun saksi itu berkata beliau tidak menyedari perkara tersebut.

Pada Mei 2021, 1MDB dan tiga anak syarikatnya telah memfailkan saman terhadap Riza Shahriz, Red Granite Pictures Inc dan Red Granite Capital Ltd.

Plaintif memohon deklarasi mahkamah bahawa Riza Shahriz bertanggungjawab menyalahgunakan dana itu dan menuntut supaya ia dibayar balik.

1MDB mendakwa Riza Shahriz telah menyeleweng dana mereka daripada Jho Low atau secara sengaja atau melulu gagal menyoal sumber dana itu.

Menerusi pernyataan pembelaan yang difailkan pada 25 Okt 2021, Riza Shahriz dan kedua-dua syarikatnya mendakwa mereka telah mendapat pinjaman daripada keluarga diraja Arab Saudi atau International Petroleum Investment Company untuk menerbitkan beberapa filem di Amerika Syarikat.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan bersambung pada 30 Okt ini.