LABUAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan telah menyalurkan sumbangan RM24,000 bersama peralatan dan aset operasi kepada lima Pasukan Bomba Sukarela (PBS).
Pengarah JBPM Labuan Abd Rahman Ali menyatakan sumbangan ini bertujuan memperkukuh kesiapsiagaan komuniti dalam menghadapi situasi kecemasan.
Beliau berkata sumbangan tersebut mencerminkan komitmen jabatan dalam memperkasa unit sukarela tempatan serta meningkatkan keselamatan awam.
“Sumbangan RM24,000 dan peralatan ini akan membantu pasukan sukarela kami bertindak pantas dan berkesan semasa menghadapi kecemasan.”
“Inisiatif tahunan ini bukan sekadar latihan tetapi bertujuan membina budaya kesiapsiagaan dan kerjasama antara agensi, industri serta komuniti tempatan,” katanya pada majlis penyampaian sumbangan.
Sumbangan itu diserahkan semasa Majlis Keselamatan Aktiviti di Air (MKAA) dan Latihan Kebakaran Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) 2025 di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan.
Program tersebut melibatkan PBS Gersik Saguking, PBS Kerupang Nagalang, PBS Lubok Temiang, PBS Sungai Lada dan PBS Tanjung Aru.
Program yang dianjurkan dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan, industri dan kumpulan komuniti itu bertujuan meningkatkan kesedaran awam terhadap keselamatan di air serta pencegahan kebakaran.
Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan Simsudin Sidek berkata kesedaran keselamatan di air adalah tanggungjawab bersama dalam kalangan komuniti pulau berkenaan.
“Sebagai sebuah pulau maritim, Labuan perlu sentiasa berwaspada terhadap risiko aktiviti air.”
“Program seperti MKAA ini menjadi platform terbaik untuk mendidik masyarakat tentang langkah pencegahan, kesiapsiagaan dan tindak balas awal semasa kecemasan,” katanya.
Acara berkenaan turut menampilkan pertandingan kecekapan ERT, pertandingan bomba komuniti, pameran keselamatan serta aktiviti pendidikan untuk pelajar dan penduduk.
Inisiatif ini sekali gus menyemai budaya keselamatan dan kerjasama dalam kalangan masyarakat Labuan. – Bernama