PETALING JAYA: Seorang pakar perubatan perunding forensik memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini, punca kematian kanak-kanak autisik Zayn Rayyan Abdul Matin disebabkan jerutan di leher dan bukan lemas di dalam air.

Dr Rohayu Shahar Adnan, 54, yang sebelum ini bertugas di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh berkata bedah siasat mayat Zayn Rayyan dilakukan pada 12 tengah hari, 7 Dis 2023 dengan dihadiri Pegawai Penyiasat ASP Mohd Nasir Mustapha.

“Jerutan di leher melebamkan otot leher dan kelenjar tiroid menunjukkan ia cukup kuat sehingga menyekat kemasukan oksigen ke paru-paru serta otak yang melemaskan si mati, mengakibatkan kematian.

“Kesan jerutan di leher yang bertindih terletak enam sentimeter di bawah telinga kanan dan kiri. Otot-otot leher dan kelenjar tiroid di bawah kesan jerutan ini turut lebam. Dengan ini, saya simpulkan sebab kematian sebagai ligature strangulation (jerut),” katanya.

Saksi pendakwaan ke-27 yang kini bertugas di Hospital Pasir Gudang, Johor sejak Mac lepas berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan hari ke-15 kes pengabaian dihadapi ibu bapa Zayn Rayyan, iaitu Ismanira Abdul Manaf dan Zaim Ikhwan Zahari di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.

Kepada soalan tambahan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin mengenai punca jerutan di leher si mati, Dr Rohayu menjelaskan dari segi perubatan forensik terdapat perbezaan antara jerutan dengan gantung.

“Kesan jerutan ini boleh terhasil daripada sebarang objek dibentuk contohnya tali, lanyard atau kain dipintal. Malah, kedudukan jerutan adalah sama, iaitu enam sentimeter di bawah telinga kanan dan kiri (mangsa), maka kesan ini adalah horizontal (melintang).

“Berbeza dengan gantung, kesannya adalah oblique (serong) kerana gantung ialah proses pasif, maknanya sebarang objek dibentuk di keliling leher akan diketatkan oleh berat badan si mati dan tarikan graviti.

“Tetapi, bagi jerutan ia menggunakan external force (kekuatan luar) bukan akibat tarikan graviti yang pasif kerana wujud lebam-lebam pada otot-otot leher mahupun kelenjar leher seperti tiroid,” katanya.

Dr Rohayu berkata jasad si mati turut menunjukkan kesan trauma tumpul, iaitu lebam pada dahi, bibir atas dan bawah, belakang kepala, rahang, tengkuk, belakang bahu kanan, antara dua belikat, belakang badan, dada, abdomen, sisi kanan badan, lengan bawah kanan dan lengan atas kiri selain kedua-dua mata turut lebam.

Kesan trauma tajam, iaitu luka potongan pula didapati pada telinga kiri selain luka tikaman dan luka hirisan di belakang telinga kiri sehingga belakang kepala sebelah kiri, luka hirisan pada belakang kepala sebelah kanan, luka hirisan pada lengan kanan atas dan luka hirisan pada lengan bawah kanan.

“Kesan trauma tumpul dan tajam ini tidak mematikan, tetapi merupakan penderaan fizikal terhadap si mati. Tiada luka pertahanan atau luka menumbuk atau menendang dilihat pada si mati,” katanya.

Ditanya tindakan yang dapat mengakibatkan kesan trauma tajam, Dr Rohayu berkata kesan potongan telinga sehingga menembusi tulang rawan telinga si mati ialah kesan potongan daripada objek gunting manakala luka hirisan bersesuaian dengan objek mempunyai bilah tajam, seperti pisau.

Selain itu, beliau berkata pemeriksaan luaran terhadap mayat berpakaian seragam sekolah dengan lampin pakai buang, berketinggian 119 sentimeter dan berat badan 17.2 kilogram itu mendapati jasad telah mula membusuk, menunjukkan warna kulit kehijauan, kulit mengelupas dan abdomen yang mengembung.

Kesan rendaman, iaitu kulit berkedut-kedut atau dinamakan washer woman appearances juga terlihat pada kedua-dua tangan dan kaki si mati, menunjukkan sentuhan atau rendaman air, namun bukan punca kematian kerana si mati tidak mati lemas dalam air selain tiada penyakit serius pada organ dalaman ditemukan.

Ditanya tempoh masa kematian Zayn Rayyan sehingga mengalami pembusukan, Dr Rohayu berkata memandangkan mayat telah melalui proses abdomen mengembung, maka tempoh masa kematian dijangka melebihi 24 jam atau 48 jam tetapi kurang dari tujuh hari.

“Proses pembusukan biasanya bermula selepas 24 jam dalam keadaan biasa, tetapi sekiranya terdapat luka-luka dan suhu tinggi serta mayat dibiarkan di luar dan terdedah kepada serangga seperti lalat, maka proses pembusukan boleh berlaku lebih cepat dari 24 jam,” kata saksi.

Menurut Dr Rohayu, terdapat benda asing ditemukan pada rongga tenggorok pernafasan sebelah kanan dan dalam perut si mati, selain lelangit lebam menunjukkan benda asing dimasuk atau ditolak secara paksa ke dalam mulut, namun tidak membawa kepada kematian kerana si mati bukan tercekik.

“Di bahagian dubur pula terdapat luka-luka koyak dan lelasan akibat kemasukan objek tumpul, tetapi ia tidak mematikan. Kecederaan si mati ialah kecederaan perimortem atau kecederaan baharu sejurus sebelum kematian kerana terdapat kesan reaksi sistem pertahanan badan yang dapat dilihat melalui pemeriksaan mikroskopik,” katanya.

Ismanira dan Zaim Ikhwan, masing-masing berumur 30 tahun didakwa mengabaikan Zayn Rayyan dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa di sekitar kawasan Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai sehingga kawasan sungai berdekatan apartmen itu antara 12 tengah hari, 5 Dis hingga 9.55 malam, 6 Dis 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 6 Dis 2023, mayat Zayn Rayyan ditemukan di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartmen Idaman, selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.