JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menahan 145 warga asing dipercayai melakukan pelbagai kesalahan dalam Op Selera di sekitar negeri itu pada Sabtu lepas.

Pengarah JIM Johor Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata dalam operasi yang dilakukan bermula pukul 10 pagi hingga 12.30 tengah hari di empat premis kopitiam, sebanyak 203 warga asing dan tempatan diperiksa, manakala 145 orang ditahan atas pelbagai kesalahan.

“Tindakan penguatkuasaan ini diambil susulan aduan menyatakan terdapat sejumlah warga asing tidak memiliki pas atau permit yang sah untuk bekerja di Malaysia.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada 90 lelaki dan 18 perempuan warganegara Myanmar, 27 lelaki Nepal, empat lelaki dan tiga perempuan warga Indonesia serta tiga lelaki rakyat Bangladesh berumur antara 18 hingga 44 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Rusdi berkata kesemua warga asing terbabit ditahan atas kesalahan melanggar syarat pas yang ditetapkan, tidak memiliki sebarang pas atau permit sah untuk berada di Malaysia dan tinggal lebih masa.

“Kes disiasat di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155),“ katanya.