Your Title

KOTA BHARU, 6 Nov (Bernama) -- Jabatan Imigresen (JIM) Kelantan hari ini menghantar 80 pendatang asing dari Depot Imigresen Tanah Merah pulang ke negara asal melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Timbalan Pengarah Imigresen Kelantan (Pengurusan) Nik Akhtarulhaq Nik Abdul Rahman berkata kesemua tahanan itu berusia lingkungan 18 hingga 62 tahun melibatkan 50 warga Myanmar, 29 Vietnam dan seorang warga Indonesia.

“Kesemua tahanan melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963 serta diperuntukkan prosedur pemindahan setelah lengkap dokumen perjalanan dari kedutaan masing-masing dan kemampuan menyediakan tiket pulang ke negara asal.

“Mereka juga telah disenaraihitamkan dalam sistem JIM mengikut kesalahan yang dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.