PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menafikan bahawa pihaknya mengeluarkan kenyataan berhubung garis panduan pengagihan daging korban di masjid sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.
Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Ismail Mokhtar berkata JIM mengambil maklum mengenai penularan kenyataan bertarikh 5 Jun 2025 itu.
“Untuk makluman, kenyataan tersebut adalah tidak benar dan tidak pernah dikeluarkan oleh JIM,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau turut menegaskan JIM tidak mengeluarkan sebarang arahan atau panduan berhubung isu pengagihan daging korban seperti yang dinyatakan dalam kenyataan palsu tersebut.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa merujuk saluran rasmi bagi mendapatkan maklumat tepat dan sahih.
“JIM memandang serius penyebaran maklumat palsu yang boleh menimbulkan kekeliruan awam.
“Sebarang penggunaan lambang rasmi dan nama jabatan tanpa kebenaran adalah satu kesalahan dan boleh diambil tindakan undang-undang,“ katanya.
Selain menggunakan nama Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban, kenyataan itu turut menyebut hanya warga asing dengan permit kerja dan visa sah atau kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dibenarkan menerima daging korban di masjid dan pengambilan daging oleh pendatang tanpa izin akan dikenakan tindakan serta-merta.