IPOH: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak menahan 11 wanita warga asing di sebuah pusat hiburan di sini, awal pagi tadi.

Pengarah JIM Perak Meor Hezbullah Meor Abd Malik berkata serbuan menerusi Ops Gegar itu dibuat berdasarkan pemantauan pihaknya di premis itu.

“Ops itu melibatkan seramai 38 orang pegawai Imigresen bermula pukul 11.30 malam hingga 1.30 pagi dan pemeriksaan telah dijalankan ke atas 32 orang warga asing yang berada di premis hiburan tersebut.

“Susulan itu, pihak kami telah menahan seramai 11 orang warga asing terdiri daripada sembilan wanita warga Thailand dan dua warga China berusia antara 21 hingga 37 tahun kerana dipercayai dengan munasabah telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kesemua warga asing tersebut ditahan di Depot Imigresen Ipoh, Perak bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.