KOTA BHARU: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan meluluskan serta-merta bantuan bulanan berjumlah RM950 selama setahun kepada keluarga pelajar cemerlang Nur Nasuha Mohd Nusi, 12, yang miskin.

Pegawai JKM Jajahan Bachok Zulfikri Abd Wahab berkata bantuan bulanan itu diberikan di bawah Bantuan Kanak-kanak iaitu RM700, selain Bantuan Am dengan kadar RM250 sebulan bermula bulan depan hingga Okt 2025.

Beliau berkata menerusi lawatan dan siasatan daripada JKM Jajahan Bachok, keluarga ini disyorkan mendapat skim bantuan iaitu Tabung Bantuan Segera sebanyak RM300 yang telah diserahkan pada 14 Okt lepas.

“Siasatan JKM mendapati masalah kewangan keluarga itu disebabkan bapa Nur Nasuha tidak mampu bekerja kerana mengalami penyakit gastrik kronik,“ katanya kepada Bernama hari ini.

Sementara itu, Mohd Nusi berkata berita mengenai kisah keciciran anaknya yang gagal menduduki Ujian Kecenderungan Kemasukan Maktab Rendah Sains Mara (UKK MRSM) dan ujian khas International General Certification of Secondary Education (IGCSE) ke Tingkatan Satu akibat kemiskinan telah mendapat perhatian pelbagai pihak yang seterusnya memberikan bantuan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu anak saya untuk menduduki ujian peperiksaan itu,“ katanya.

Semalam, media melaporkan Nur Nasuha terlepas peperiksaan UKK MRSM dan IGCSE ke Tingkatan Satu 2025 di MRSM Kuala Krai yang sepatutnya pada 8 Okt lepas berikutan tidak mempunyai wang dan kenderaan.

Perkara itu turut mendapat perhatian Pengerusi Majlis Amanah Rakyat Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang mengarahkan pihak MRSM Kuala Krai menguruskan pengangkutan Nur Nasuha bagi menduduki peperiksaan UKK MRSM.