MELAKA: Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) sedang meneliti alasan dikemukakan calon yang gagal melaporkan diri di Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri 2 2025 yang bermula 11 Mei lepas.
Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata laporan berhubung perkara berkenaan kemudiannya akan dibentangkan kepada kementerian dalam masa terdekat untuk tindakan susulan memandangkan kehadiran ke program itu adalah wajib.
“Memang ada beberapa (individu) yang tidak hadir dan buat masa sekarang kita sedang menerima dan meneliti semua laporan secara terperinci (alasan ketidakhadiran pelatih).
“Saya yakin dalam tempoh terdekat JLKN akan membentangkannya kepada Kementerian Pertahanan namun secara asasnya, proses ini adalah untuk memberi kesedaran apabila mereka terpilih, adalah wajib bagi mereka mendaftarkan diri dan kita ada keperluan untuk menggunakan akta yang ada,“ katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini hari ini.
Beliau berkata penelitian dilakukan kerana kehadiran calon adalah tertakluk di bawah Bahagian Undang-Undang selaras dengan Seksyen 18 (1) Akta Latihan Khidmat Negara 2003 (Akta 628), iaitu individu terpilih yang tidak hadir tanpa alasan munasabah boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjara tidak lebih enam bulan, atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, media melaporkan 344 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri 2 2025 telah melapor diri bagi menjalani latihan selama 45 hari bermula 11 Mei hingga 24 Jun ini.
Jumlah berkenaan terdiri daripada 206 pelatih lelaki dan 138 wanita yang melapor diri di Kem Rejimen 505 (AW) Kem Force 136, Pekan, Pahang dan Kem Rejimen 515 (AW), Jalan Buku Lima, Kuala Lumpur.
“Setakat ini antara alasan utama ketidakhadiran pelatih yang diperoleh adalah berkaitan kesihatan, pekerjaan dan menyambung pelajaran. Pihak kita juga sedang cuba menambah baik aspek berkaitan agar kehadiran adalah 100 peratus bagi setiap sesi program dijalankan,“ katanya.
Pada majlis hari ini, sebanyak 1,000 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melibatkan anggota veteran termasuk balu dan waris Veteran ATM negeri Melaka dan Negeri Sembilan menerima PJM, yang merupakan kurniaan atas keperwiraan dan pengorbanan anggota tentera dalam melaksanakan kewajipan kepada negara.
Setakat Mac lepas, sebanyak 48, 346 warga veteran ATM yang memenuhi syarat telah menerima PJM sejak penganugerahan tersebut dikoordinasikan oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM pada Mac 2004.