KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul mengadakan lawatan kerja ke Brunei hari ini bersempena dengan “Tripartite Forum on Building a Vibrant Digital Economy in ASEAN: Strategies for Cyber Resilience and Shared Prosperity”.

Parlimen Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan Johari dijadualkan menyampaikan ucaptama bertemakan “Building a Vibrant Digital and Cyber Resilient ASEAN” untuk membincangkan kesan transformasi digital ASEAN yang memberi kesan kepada sosioekonomi 400 juta pengguna digital di rantau itu.

Ucaptama itu turut menyentuh mengenai peranan ahli parlimen dalam bekerjasama dengan sektor awam dan swasta untuk memastikan masa depan digital ASEAN berkembang dengan mampan serta selamat.

“Yang Dipertua Dewan Rakyat juga akan bertemu Setiausaha Agung Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) Siti Rozaimeriyanty Abdul Rahman untuk membincangkan persiapan awal Parlimen Malaysia sebagai tuan rumah AIPA pada 2025.

“Selain itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat bersama timbalannya Datuk Ramli Mohd Noor juga dijadual bertemu Yang Dipertua Majlis Mesyuarat Negara Brunei Datuk Seri Setia Awang Abdul Rahman Mohamed Taib,“ menurut kenyataan itu.

Forum tiga hala berkenaan anjuran AIPA, Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN Brunei, Majlis Penasihat Perniagaan APEC Brunei dengan sokongan Majlis Mesyuarat Negara Brunei dan Institut Penyelidikan Ekonomi untuk ASEAN dan Asia Timur (ERIA).

Kenyataan itu memaklumkan penganjuran forum tiga hala itu merupakan pembuka tirai sebelum acara utama Mesyuarat Kaukus AIPA ke-15 bermula esok hingga Rabu yang bertemakan “Strengthening ASEAN Cyber Resilience through Parliamentary Cooperation: Towards a Future of Safe and Vibrant Digital Economy”.

Mesyuarat itu akan dihadiri delegasi dari negara anggota AIPA bagi membincangkan status pelaksanaan resolusi yang diluluskan semasa Perhimpunan Agung AIPA ke-44 di Jakarta, Indonesia tahun lepas bagi mendukung komitmen ASEAN membangunkan ekonomi digital di seluruh rantau ini menjelang 2025 serta menyokong pembangunan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA).