JOHOR BAHRU: Sebanyak 969 daripada 1,206 katil di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini dikenal pasti sudah usang dan dipercayai telah digunakan sejak tahun 1970-an.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Ling Tian Soon berkata kerajaan negeri berusaha memastikan keselesaan pesakit dengan mengambil inisiatif bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk menukar katil baharu.
Beliau berkata usaha itu membuahkan hasil apabila 860 katil disumbangkan pelbagai pihak termasuk syarikat, badan bukan kerajaan (NGO) dan yayasan sejak awal bulan ini. “Sumbangan itu melibatkan pelbagai jenis katil termasuk katil Unit Rawatan Rapi (ICU) dan katil biasa untuk dewasa, bayi dan kanak-kanak,“ katanya.
Ling turut menyatakan harapan agar jumlah keseluruhan 969 katil dapat dicapai menjelang September ini. “Mudah-mudahan dalam bulan September ini, kita dapat mencapai jumlah keseluruhan 969 katil yang perlu ditukar,“ ujarnya selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Katil oleh Persatuan Fo Guang Shan di Wad Perubatan Perempuan PP1 HSA.
Pengarah HSA Dr Mohamad Nizam Subahir turut hadir dalam majlis tersebut. Ling menjelaskan bahawa kesemua katil yang disumbangkan akan diserahkan secara berperingkat dalam masa terdekat. “Difahamkan ketika ini agak sukar untuk mendapatkan katil hospital di pasaran dan ia perlu diimport, mengambil masa untuk diperoleh,“ katanya.
Beliau menekankan bahawa inisiatif ini membolehkan hospital memberi tumpuan kepada perkara lain yang lebih penting seperti menaik taraf kemudahan menerusi peruntukan Kementerian Kesihatan (KKM). “Oleh itu, kami (kerajaan negeri) ambil inisiatif untuk bantu pihak hospital dan menganggap ia sebagai satu tanggungjawab dengan bantuan ikhlas,“ jelasnya. - Bernama