ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Negeri Johor akan melaksanakan kenaikan pangkat secara Time-Based Berasaskan Kecemerlangan (TBBK) bermula tahun ini kepada guru-guru sekolah agama gred DG29.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid berkata pelaksanaan TBBK akan membolehkan guru-guru sekolah agama menikmati kenaikan pangkat dalam tempoh yang lebih pendek.

“Jika dibandingkan sebelum ini, guru-guru sekolah agama ini mengambil masa 10 tahun untuk kenaikan pangkat dari DG29 ke DG32 dan tiada kenaikan pangkat dari DG32 ke DG34 dan penjawatan tersebut terhenti di gred DG32.

“Dengan pelaksanaan skim yang ditimbalguna daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), tempoh kenaikan pangkat akan jadi lebih pendek iaitu daripada 10 tahun kepada 8 tahun untuk kenaikan gred DG29 ke DG32 dan guru-guru sekolah agama akan menikmati kenaikan gred dari DG32 ke DG34 dengan mengambil kira tempoh 8 tahun untuk kenaikan tersebut,” katanya pada Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Abd Mutalip Abd Rahim (BN-Layang-Layang) mengenai aduan berkaitan kekurangan guru Sekolah Agama Kerajaan Johor dan langkah-langkah mengatasi masalah tersebut.

Katanya Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) telah meluluskan pelaksanaan TBBK di peringkat dasar dan kini dalam proses penelitian bagi pelaksanaannya.

“Dengan penambahbaikan skim kenaikan pangkat ini, ia akan menambah minat guru-guru untuk terus berkhidmat dan akhirnya mengurangkan masalah kekurangan guru di sekolah-sekolah agama,” katanya.

Menurut Mohd Fared, sehingga 30 April tahun ini, 2,878 penjawatan guru di Sekolah Agama Kerajaan Johor yang terdiri daripada 2,473 berstatus tetap dan 230 berstatus kontrak telah diisi daripada 3,151 waran penjawatan guru dan dibantu oleh 1,921 guru KAFA di 582 buah sekolah agama dengan kapasiti murid seramai 198,375 di seluruh negeri Johor.

Katanya, bagi guru KAFA, jumlah pengisian terkini adalah 1,921 daripada 2,000 waran penjawatan.