• 2025-06-26 07:04 PM

JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor dengan kerjasama 16 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sedang melaksanakan 33 projek pengindahan dan landskap bernilai keseluruhan RM152.44 juta bagi meningkatkan kualiti hidup penduduk.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata projek-projek tersebut melibatkan naik taraf taman rekreasi, laluan pejalan kaki, kawasan warisan, mural seni awam, infrastruktur pelancongan, pencahayaan bandar, dan penanda visual strategik.

Antara projek utama termasuk peruntukan RM2.92 juta bagi naik taraf Taman Bandar Bukit Layang-Layang sempena Hari Landskap Negara 2025, RM1.48 juta untuk kerja landskap di TMIYC Pasir Gudang, dan RM30 juta bagi pengindahan Pusat Bandar Johor Bahru.

“Setiap projek ini memberi manfaat langsung kepada rakyat dalam bentuk kawasan riadah yang lebih selesa, persekitaran bandar yang lebih indah, dan peluang pekerjaan dalam sektor landskap dan pelancongan,“ katanya semasa berucap di Majlis Perasmian Hari Landskap Negara 2025 Peringkat Kebangsaan.

Johor merupakan satu-satunya negeri yang mempunyai Jabatan Landskap Negeri sendiri, menunjukkan komitmen kerajaan negeri dalam pembangunan landskap yang sistematik.

Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia, sektor landskap menyumbang RM39.4 bilion kepada KDNK pada 2024, dengan Johor mencatat jumlah tapak semaian tertinggi di Malaysia iaitu 87 peratus daripada keseluruhan negara.

“Perkembangan ini bukan sahaja mencerminkan pertumbuhan pesat sektor landskap, malah memperkukuh kedudukannya sebagai pemacu ekonomi baharu,“ tambah Onn Hafiz.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Jabatan Landskap Negara atas komitmen memperkasa landskap komuniti di Johor.

Bagi tempoh 2023 hingga 2025, Johor telah menerima peruntukan RM14 juta daripada KPKT bagi pelaksanaan 28 projek Taman Awam dan Taman Rekreasi MADANI di seluruh negeri.