• 2025-06-26 09:35 PM

IPOH: Seorang warga emas meninggal dunia manakala dua individu lain mengalami kecederaan selepas kereta yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori 10 tan di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli.

Kejadian berlaku berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Banjaran Titiwangsa hari ini.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 1.02 tengah hari dan tiba di lokasi kejadian kira-kira 70 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik pada jam 2.11 petang.

“Mangsa yang maut merupakan seorang lelaki dalam lingkungan 70-an yang tersepit di bahagian tempat duduk penumpang hadapan kereta Persona.

“Pemandu dan penumpang belakang kereta pula mengalami kecederaan ringan,“ jelas Sabarodzi dalam kenyataan rasmi.

Dua mangsa yang cedera telah dibawa ke Hospital Gerik untuk rawatan lanjut, manakala mayat warga emas tersebut diserahkan kepada pihak polis bagi proses selanjutnya.