JOHOR BAHRU: Johor berhasrat mempelajari model pengurusan pusat penjaja dan pasar awam Singapura bagi meningkatkan kualiti kemudahan, kebersihan, dan suasana perniagaan di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata hasrat itu timbul selepas lawatan kerja bersama Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi ke Pusat Penjaja Geylang Serai di Singapura.
“Kawasan ini bukan sahaja menjadi tumpuan pelancong, tetapi juga pusat ekonomi komuniti yang menggabungkan elemen moden, kebersihan tinggi, dan kawalan kesihatan ketat tanpa mengabaikan nilai budaya,“ katanya dalam kenyataan.
Mohd Jafni memuji perancangan bandar, penyediaan tapak niaga selesa, serta kawalan lesen yang dilaksanakan dengan disiplin tinggi di Singapura. Beliau turut mengagumi konsep “semua dalam satu tempat” yang menyediakan kemudahan komuniti inklusif dan mesra pengguna.
“Model ini wajar dijadikan inspirasi untuk pembangunan pasar moden di Johor, terutamanya di kawasan seperti Iskandar Puteri, Johor Bahru, Pasir Gudang, Kulai, Pengerang, dan Pontian,“ jelasnya.
Antara inisiatif menarik yang diperhatikan ialah penggunaan Baucar CDC (Majlis Pembangunan Masyarakat) bernilai hingga SGD500, yang diberikan kepada isi rumah untuk dibelanjakan di kedai dan gerai tempatan berdaftar.
“Bantuan ini mengurangkan kos sara hidup dan menyokong peniaga kecil, sambil memastikan dana tidak bocor ke pasar raya besar,“ katanya.
Input yang diperoleh akan dimasukkan ke dalam pelan tindakan pembaharuan pengurusan penjaja dan pasar di bawah agenda MAJU JOHOR. - Bernama