JOHOR BAHRU: Mesyuarat pertama Jawatankuasa Khas Antibuli Negeri melalui Mesyuarat Penyelarasan Kempen Antibuli dan Tindakan diadakan hari ini sebagai langkah agresif menangani isu buli di sekolah.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor Aznan Tamin menyatakan mesyuarat itu melibatkan pelbagai agensi bagi menyusun strategi dan pelan tindakan menyeluruh.
Beliau berkata mesyuarat turut mengemukakan cadangan bernas dan pelan gerak kerja komprehensif untuk dilaksanakan melalui kempen berfasa serta program intervensi di semua institusi pendidikan.
“Langkah ini diharap dapat memberi kesedaran, mendidik pelajar serta melibatkan seluruh ekosistem pendidikan termasuk guru, ibu bapa dan masyarakat,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook hari ini.
Aznan menegaskan Johor menjadi negeri pertama menubuhkan jawatankuasa khas itu, membuktikan komitmen kerajaan negeri menjaga keselamatan pelajar.
Beliau menekankan isu buli bukan masalah kecil tetapi perbuatan menggunakan kekuasaan atau kekerasan yang boleh menyebabkan trauma mendalam terhadap mangsa.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Khairin-Nisa Ismail @ Md On - Bernama