• 2025-07-03 08:36 PM

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini mengisytiharkan pereka fesyen terkenal Datuk Jovian Mandagie bankrap hari ini ekoran kegagalannya melunaskan pinjaman persahabatan berjumlah RM5.28 juta termasuk faedah kepada syarikat pembinaan Cekap Air Sdn Bhd.

Penolong Kanan Pendaftar Muhammad Faisal Zulkifli mengeluarkan perintah berkenaan selepas membenarkan petisyen pemiutang yang difailkan oleh syarikat tersebut pada 20 November 2024.

Peguam mewakili Cekap Air, Siti Nur Athirazatti Rohizad, mengesahkan bahawa notis kebankrapan telah difailkan pada 21 Mei 2024 selepas Jovian gagal mematuhi penghakiman terus mahkamah.

“Mahkamah telah menolak semua permohonan Jovian untuk menggantung atau membatalkan notis kebankrapan ini,“ jelas Siti Nur Athirazatti.

Menurut petisyen kebankrapan, Cekap Air memohon perintah berkenaan selepas Jovian gagal membayar RM5,284,340.66 seperti diarahkan Mahkamah Tinggi pada 2 April 2024.

Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin sebelum ini memutuskan kes melalui penghakiman terus tanpa perbicaraan penuh.

Pinjaman RM5 juta itu diberikan secara lisan pada Februari 2022 dengan jangkaan pembayaran balik dalam tempoh 12 bulan.

Cekap Air mendakwa wang itu dipindahkan ke akaun peguam Jovian atas dasar persahabatan, tetapi defendan gagal memenuhi perjanjian.

Rayuan berkaitan penghakiman terus akan didengar di Mahkamah Rayuan pada 15 September ini. Jovian diwakili peguam Nur Irdina Syahirah Mohammad Wardi dalam prosiding hari ini. – Bernama