KOTA BHARU, 6 Jun (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membuka kertas siasatan terhadap syarikat lori yang terlibat dalam kemalangan membabitkan trak membawa 18 anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) pada 12 Mei lepas.
Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ Muhammad Kifli Ma Hassan berkata siasatan dijalankan di bawah Seksyen 57 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 melibatkan pemilik syarikat lori berkenaan.
“JPJ telah menyita lori terbabit dan pegawai penyiasat telah diarahkan untuk menyiapkan kertas siasatan selewat-lewatnya hujung Jun ini.
“Sebaik selesai, kertas siasatan akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Op Hari Raya Aidiladha di sini malam tadi.
Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati terdapat pelanggaran syarat permit melibatkan syarikat terbabit.
“Syarikat lori berkenaan didapati melanggar syarat permit dengan membawa muatan tidak dibenarkan, iaitu batu, sedangkan permit yang diluluskan adalah untuk mengangkut arang batu.
“Kes ini masih dalam siasatan lanjut bagi mengenal pasti kesalahan sebenar dan tindakan sewajarnya akan diambil,” katanya.
Pada 12 Mei, sebuah lori yang dipandu seorang lelaki bertembung dengan trak membawa 18 anggota FRU di Jalan Chikus–Sungai Lampan, Teluk Intan, ketika mereka dalam perjalanan pulang ke Ipoh.
Akibat nahas itu, sembilan anggota FRU maut manakala sembilan lagi cedera dan menerima rawatan di Hospital Teluk Intan serta Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.