• 2025-06-26 05:24 PM

KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) diperintahkan untuk meningkatkan pemantauan terhadap pesalah trafik berulang, terutamanya melibatkan syarikat pengangkutan dan pemandu kenderaan perdagangan.

Arahan ini dikeluarkan oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke susulan aduan mengenai kelewatan tindakan terhadap pesalah berulang.

Loke menegaskan bahawa audit akan dilaksanakan secara proaktif ke atas syarikat pengangkutan tanpa menunggu berlakunya insiden.

“Saya dah arahkan kepada JPJ dan juga APAD supaya lebih agresif dari segi pemantauan terutamanya kepada pesalah berulang ini termasuk syarikat atau pun pemandu yang (mempunyai kesalahan) berulang-ulang ini,“ katanya selepas Sesi Taklimat dan Pengumuman Pendigitalan Pas My50 di Stesen LRT KL Sentral hari ini.

Mengenai dakwaan pemandu lori menyembunyikan saman sehingga tunggakan bertambah, Loke menyatakan bahawa ia adalah urusan dalaman syarikat.

“Saman tetap saman. Permit kenderaan bukan diberikan kepada pemandu, jadi pemilik kenderaan perlu bertanggungjawab,“ jelasnya.

Semalam, Kementerian Pengangkutan mendedahkan senarai 11 syarikat pengendali kenderaan barangan dan 17 syarikat bas ekspres dengan jumlah saman tertunggak tertinggi.

Selain itu, Loke turut membincangkan inisiatif pas perjalanan My50 yang mungkin diperluas kepada operator lain seperti KLIA Express Rail Link (ERL).

Namun, beliau menegaskan bahawa kadar RM50 sukar dilaksanakan untuk semua jenis pengangkutan.

Mengenai isu kekangan tempat letak kereta, Loke menggalakkan penggunaan perkhidmatan Rapid On-Demand (ROD) sebagai alternatif untuk ke stesen LRT.