JOHOR BAHRU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan 112,658 tag Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) Permit Masuk Kenderaan (VEP) kepada kenderaan bernombor pendaftaran Singapura setakat 30 Sept, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 75,412 tag RFID VEP sudah aktif digunakan sejak bermula pelaksanaan VEP di pintu sempadan darat Malaysia-Singapura pada 1 Okt manakala 37,246 tag lagi masih belum diaktifkan.

“Jumlah ini juga dikira sebagai permohonan VEP yang telah kami terima setakat ini,” katanya dalam sidang media ketika hadir meninjau pelaksanaan penguatkuasaan VEP di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini hari ini.

Beliau berkata JPJ juga melaksanakan penguatkuasaan secara berfasa dengan mengeluarkan notis peringatan kepada pemilik atau pemandu kenderaan republik itu yang belum membuat pendaftaran VEP sejak Selasa lepas.

Penguatkuasaan dilaksanakan di laluan keluar Malaysia-Singapura dengan memeriksa kenderaan Singapura secara rawak yang dikesan tidak mendaftar VEP di BSI dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah.

Beliau berkata sebanyak 678 kenderaan Singapura telah diperiksa di kedua-dua pintu masuk itu dan 50 notis peringatan dikeluarkan sejak Selasa.

Notis peringatan turut dikeluarkan kepada pemilik kenderaan Singapura yang sudah melaksanakan prapendaftaran VEP tetapi belum mengemukakan tiga dokumen diperlukan iaitu Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE), insurans dan kad pengenalan.

“Pemilik kenderaan Singapura yang telah mendaftar VEP tetapi masih belum menerima tag RFID, notis peringatan tidak akan dikeluarkan,” jelasnya.

Sehubungan itu, Loke berkata pemilik kenderaan Singapura diseru segera mendaftar, memasang dan mengaktifkan tag RFID VEP bagi mengelakkan sebarang kesulitan semasa masuk dan keluar dari Malaysia.

“Kita beri masa mencukupi, jadi kira harap dapat berikan kerjasama. Kita tahu bahawa ada permohonan yang dihantar belum menerima tag, kita akan percepat proses,” katanya.

Ditanya sama ada tindakan saman akan dikuatkuasakan selepas ini, beliau berkata fasa kedua penguatkuasaan akan dimaklumkan kemudian supaya pendaftaran VEP tidak dibuat pada saat akhir.

“Setakat ini memang tiada saman tetapi bukan selamanya. Kita tidak ada tempoh untuk fasa pertama penguatkuasaan notis peringatan ini sebab jika kita beritahu nanti ada yang lambat buat pendaftaran,” katanya.

Sementara itu, Loke memberikan jaminan kepada pemilik kenderaan Singapura mengenai perlindungan data peribadi mereka untuk pendaftaran VEP kerana maklumat diperoleh tertakluk kepada Akta Perlindungan Data Peribadi.

Selain itu, pemilik kenderaan dari Malaysia juga menghadapi peraturan sama apabila memohon VEP Singapura yang dikenali sebagai Autopass.

Beliau juga menafikan laporan media yang mendakwa sistem VEP menyasarkan kesalahan trafik yang belum dijelaskan oleh pemandu Singapura.

“Setiap pemandu termasuk rakyat Malaysia mesti menyelesaikan saman tertunggak. Ini undang-undang universal termasuk di Singapura.

“Ini bukan soal mengeluarkan saman atau mengutip denda, ini soal meningkatkan keselamatan dan memastikan kemasukan kenderaan asing lancar,” katanya.

Open Two Websites with Image

Clickable Image