MELAKA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka mengeluarkan 437 notis membabitkan pelbagai kesalahan dalam Operasi Khas Bersepadu di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran Melaka Sentral di sini malam tadi.

Pengarah JPJ Melaka Siti Zarina Mohd Yusop berkata ia membabitkan 393 kesalahan, yang dikesan di bawah Notis JPJ (P) 22 melibatkan kesalahan lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor, insurans dan teknikal serta lain-lain kesalahan.

“... manakala selebihnya adalah di bawah Notis PG (1) iaitu larangan penggunaan kenderaan (22 notis) dan Notis 61(1) arah periksa (22 notis) selain tiga kenderaan turut disita.

“Semua kesalahan ini membabitkan 265 daripada 1,587 kenderaan yang diperiksa sepanjang operasi selama empat jam yang berakhir pada 12 malam tadi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Siti Zarina berkata operasi itu juga melibatkan penyertaan pelbagai agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Beliau berkata PDRM turut mengeluarkan 27 notis saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas selain seorang pemandu ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had dibenarkan.

“AADK juga menjalankan ujian saringan air kencing terhadap 22 individu dan empat daripadanya didapati positif methamphetamine, manakala seorang dikesan positif ganja.

“Kesemua mereka berusia antara 19 hingga 50 tahun ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Siti Zarina berkata operasi yang dilaksanakan itu bertujuan membanteras pelbagai kesalahan jalan raya dan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan undang-undang serta keselamatan awam sentiasa terpelihara.