KUALA TERENGGANU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu mengambil tindakan terhadap 44 bas persiaran atas pelbagai kesalahan bermula Januari hingga Mei tahun ini.

Pengarahnya Mohd Zamri Samion berkata jumlah itu hasil daripada pemeriksaan anggota dan pegawainya ke atas 1,349 kenderaan perkhidmatan awam di seluruh negeri.

“Secara perbandingan bagi tahun 2023 kita telah memeriksa sebanyak 1,680 kenderaan perkhidmatan awam dan mengambil tindakan terhadap 79 kenderaan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Operasi Khas Bersepadu Kenderaan Pelancongan dan Perkhidmatan Awam (Bas Persiaran dan Ekspres) peringkat JPJ Negeri Terengganu di pekarangan parkir Masjid Terapung Kuala Ibai dekat sini hari ini.

Mohd Zamri berkata antara kesalahan paling banyak dikesan sama ada pada tahun lepas atau hingga Mei tahun ini adalah perakuan Puspakom tamat tempoh, tiada perlindungan insurans dan kesalahan teknikal seperti pemadam api luput tarikh, tiada peti pertolongan cemas dan pemasangan aksesori merbahaya.

Beliau berkata sebanyak 11 kenderaan perkhidmatan awam terutama bas persiaran diperiksa dengan empat saman dikeluarkan dalam operasi khas bersepadu yang dijalankan hari ini bersama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia; Agensi Anti Dadah Kebangsaan; serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Beliau berkata sebanyak dua kes membabitkan kesalahan tiada pemandu kedua dan masing-masing satu kes berkaitan kesalahan tiada pemandu pelancong dan salah guna permit pelancongan.

Menerusi operasi yang dijalankan hari ini turut mengesan sebuah bas yang mempunyai permit bas sekolah, namun membawa rombongan keluarga dari Kedah untuk menghadiri kenduri di Terengganu.

“Sepatutnya (bas sekolah) hanya boleh dibawa dalam lingkungan 30 kilometer dan membawa murid sekolah sahaja. Kenderaan itu berisiko kerana kapasitinya hanya sebagai bas sekolah sahaja,” katanya sambil menambah tindakan sewajarnya akan diambil terhadap syarikat bas berkenaan.

Open Two Websites with Image

Clickable Image