KUALA TERENGGANU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu mengesan kewujudan kegiatan atau sindiket yang menyewa motosikal kepada warga asing di negeri ini.
Pengarahnya Zulkarnain Yasin berkata ia susulan penemuan seorang lelaki rakyat tempatan yang didapati memiliki lebih 40 motosikal pada satu masa.
Sehubungan itu siasatan lanjut secara menyeluruh sedang dijalankan bagi memastikan sama ada kegiatan yang dijalankan oleh individu berusia lingkungan 50-an yang beralamat di Marang terbabit, turut didalangi sindiket.
“Kita berjaya mengesan individu ini dalam Operasi Pemandu Warga Asing (Ops Pewa) yang dijalankan selama dua hari bermula semalam.
“Agak pelik apabila seorang individu ada lebih 40 motosikal didaftarkan atas nama beliau. Jadi JPJ sedang siasat untuk pastikan apakah kegiatan beliau atau ada sindiket beroperasi beri sewa motosikal kepada warga asing,“ katanya pada sidang media Ops Pewa di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Zulkarnain berkata pihaknya telah menyita 79 kenderaan termasuk 66 motosikal dan 13 motokar dalam Ops Pewa yang dijalankan di sekitar Kuala Terengganu.
“Dalam tempoh dua hari, kita telah memeriksa 567 kenderaan yang dipandu warga asing. Sebanyak 284 saman dan 79 notis atas pelbagai kesalahan juga telah dikeluarkan pada operasi tersebut,“ katanya.
Dalam pada itu Zulkarnain berkata JPJ Terengganu telah mengeluarkan 39,028 saman dan 33,213 notis atas pelbagai kesalahan sepanjang tahun lalu.
Menurut beliau tiga kesalahan tertinggi termasuk penggunaan cermin gelap, tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh.
“Sebanyak 311,884 kenderaan telah diperiksa sepanjang tahun lalu melalui pelbagai operasi JPJ dan secara bersepadu dengan anggota keselamatan lain seperti Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia Terengganu.
“Sepanjang tahun lalu, kita turut menyita 627 kenderaan termasuk motosikal (456 buah); motokar (137 buah); lori (18 buah) dan kenderaan persendirian lain (16 buah),“ katanya. - Bernama