• 2025-08-08 05:35 PM

KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan Erni Dekritawati Yuliana Buhari atau Rita Sosilawati diminta tampil memberi maklumat kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) berhubung dakwaan taktik penipuan terbaharu susulan kiriman bungkusan berisi ganja ke kediaman keluarganya oleh individu tidak dikenali.

Pengarah JSJK Bukit Aman Datuk Rusdi Mohd Isa berkata setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan rasmi berhubung dakwaan tersebut.

“Kita minta individu terbabit tampil membuat laporan (secara terus kepada pihak JSJK) supaya siasatan boleh dilakukan,” katanya pada sidang media JSJK di Menara KPJ, di sini hari ini.

Pada Rabu lepas, media melaporkan Rita memuat naik hantaran di akaun Threads miliknya mendakwa dia dianiaya selepas adiknya menerima satu bungkusan mencurigakan di kediaman ahli keluarganya.

Menurut hantaran itu, walaupun alamat pada bungkusan adalah kediaman adiknya, mereka tidak mengenali nama penerima.

“Scam terbaru, alamat rumah pun dah tak selamat. Semalam pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) datang rumah adik. Mereka kesan bungkusan (parcel) alamat rumah yang (dihantar) dari Thailand mengandungi ganja seberat tujuh gram,” menurut hantaran tersebut dan Rita turut memaklumkan laporan polis telah dibuat - BERNAMA