SEPANG: Seorang pekerja bebas dijatuhkan hukuman denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menghantar video sumbang dan lucah berkumpulan bagi tujuan komersial pada Februari tahun lepas.

Hakim Ahmad Fuad Othman menjatuhkan hukuman itu terhadap Ahmad Ali Madali, 40, dan memerintahkannya dipenjara selama enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa secara sedar menyebarkan komunikasi lucah menggunakan akaun Telegram, iaitu akses kepada kumpulan Telegram “Swinger Melayu VVIP XXXX” bagi tujuan komersial kepada ejen penyamaran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada pukul 10.05 malam, 10 Feb 2024.

Berikutan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 233(2)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum satu tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, hasil pemeriksaan terhadap telefon bimbit yang digunakan tertuduh turut mendapati terdapat sejarah transaksi Touch ‘n Go e-dompet pada hari yang sama, menunjukkan pembayaran sebanyak RM400 telah dibuat oleh ejen penyamaran itu kepada Ahmad Ali.

Ahmad Fuad berkata kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh memberi kesan besar terhadap moral masyarakat serta bertentangan dengan nilai agama Islam dan prinsip Rukun Negara.

“Masyarakat hari ini semakin tidak sopan dan jika trend ini berterusan, ia akan mengundang permasalahan besar. Moral masyarakat perlu dipertahankan dan aktiviti seperti ini perlu dihukum sewajarnya,” katanya.

Pertuduhan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa MCMC Mohamad Azmir Mohd Razal, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam rayuannya, tertuduh memohon hukuman diringankan kerana hanya bekerja sebagai pekerja bebas yang membuat promosi iklan di laman sosial dan tidak mempunyai pendapatan tetap.

Selain itu, katanya beliau menyara isteri yang tidak bekerja dan anak berusia tiga tahun serta menanggung kos perubatan bapa mentua yang menghidap penyakit diabetes dan lemah jantung.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan memohon agar hukuman berat dikenakan berikutan kesalahan tersebut merupakan satu kesalahan serius yang memberi kesan negatif kepada masyarakat, selain video lucah berkenaan juga berpotensi diakses oleh kanak-kanak.

Tertuduh kemudian membayar denda tersebut.