• 2025-07-07 09:27 AM

SHAH ALAM: Polis Selangor mengesahkan menerima dua laporan berhubung kes penipuan melibatkan seorang penceramah bebas yang didakwa memperdaya mangsa bagi tujuan pembangunan sekolah agama. Kerugian dianggarkan mencecah RM140,000.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, laporan pertama dibuat di daerah Gombak membabitkan seorang pemilik syarikat yang mengenali suspek sejak 2020. Suspek dikatakan membuat tiga transaksi berjumlah RM60,000 antara Ogos dan September 2020.

Laporan kedua pula dibuat di Shah Alam dengan mangsa kedua kehilangan RM80,000 sekitar 2019. Suspek didakwa menggunakan nama institusi agama untuk meyakinkan mangsa.

“Suspek menggunakan nama sekolah agama bagi mendapatkan kepercayaan mangsa sebelum wang diserahkan,“ jelas Hussein.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana penipuan. Polis turut menyiasat kes berasingan membabitkan suspek yang sama berhubung penyebaran video lucah.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata, laporan diterima pada 16 Jun lalu daripada isteri kedua suspek yang mendakwa video intimnya disebarkan.

Sementara itu, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah menarik balik tauliah mengajar suspek berikutan penahanannya. Pengerusi MAIS Datuk Salehuddin Saidin mengesahkan individu itu pernah ditahan pada September 2024 kerana mengajar tanpa kebenaran.