KUALA LUMPUR: Perdagangan borong dan runcit Malaysia mencatatkan jumlah jualan sebanyak RM154.3 bilion pada Mei 2025, menunjukkan pertumbuhan 4.4 peratus berbanding tahun sebelumnya. Data terbaharu daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendedahkan prestasi positif ini disokong oleh subsektor runcit dan borong.
Subsektor runcit mencatatkan jualan bernilai RM67.1 bilion, meningkat 4.9 peratus tahun ke tahun, manakala subsektor borong pula mencatatkan RM68.2 bilion, naik 4.7 peratus. Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, angka ini mencerminkan kestabilan aktiviti perniagaan dalam rantaian bekalan.
Jualan runcit dalam talian turut menunjukkan peningkatan dengan indeks naik 2.2 peratus tahun ke tahun. Walau bagaimanapun, selepas pelarasan bermusim, indeks tersebut menurun -3.4 peratus bulan ke bulan.
Dari segi volum perdagangan, indeks menunjukkan pertumbuhan 4.1 peratus tahun ke tahun. Subsektor borong mencatatkan kenaikan tertinggi iaitu 5.8 peratus, diikuti runcit dengan 3.7 peratus.
Perkembangan positif turut dilihat dalam transaksi pembayaran digital. Transaksi wang elektronik (E-money) melonjak 70.2 peratus kepada RM21.5 bilion, manakala transaksi platform pembayaran runcit masa nyata (RPP) mencecah RM289.4 bilion. Transaksi kad debit pula berkembang lapan peratus kepada RM14.1 bilion.
Mohd Uzir berkata, pertumbuhan ini menunjukkan penerimaan luas terhadap pembayaran digital dan perubahan corak perbelanjaan pengguna. “Perkembangan ini selaras dengan kemajuan digitalisasi dalam infrastruktur pembayaran di Malaysia,“ jelasnya - BERNAMA