KUALA LUMPUR: Menteri Luar Australia Penny Wong menekankan hubungan erat antara rakyat sebagai asas penting dalam membina persahabatan jangka panjang antara Australia dan Malaysia. Beliau menyatakan bahawa sejarah bersama dan kepercayaan kepada kerjasama serantau turut menyokong hubungan ini.
Dalam hantaran video di Instagram rasminya, @senatorpennywong, Wong mengimbau kenangan zaman kanak-kanaknya di Kota Kinabalu, Sabah. Video tersebut turut memaparkan kehadirannya pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur minggu lepas.
“Persahabatan Australia dan Malaysia dibina atas sejarah bersama, hubungan erat antara rakyat Australia dan Malaysia,“ katanya.
Tahun ini menandakan ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara. Wong juga menyatakan sokongan terhadap peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN. “Kami akan terus bekerjasama dengan rakan-rakan serantau untuk menyokong visi bersama bagi Indo-Pasifik yang lebih selamat, terjamin dan makmur,“ jelasnya.
Wong, yang dilahirkan di Malaysia dan membesar di Australia, berkata kisah hidupnya mencerminkan realiti masyarakat moden di Australia. “Cerita saya seperti ramai rakyat Australia yang lain adalah sebuah kisah Australia yang moden,“ ujarnya.
Beliau menambah bahawa latar belakang pelbagai budaya merupakan kekuatan utama Australia dalam membina hubungan antarabangsa yang kukuh, termasuk dengan negara-negara Asia Tenggara. “Ia membantu kami menemukan titik persamaan bersama-sama penduduk di seluruh dunia,“ katanya. - Bernama