KOTA BHARU: Polis berjaya menyelesaikan enam kes ragut dalam tempoh 24 jam selepas kejadian terbaru di kawasan tempat letak kenderaan Lotus Lembah Sireh. Seorang lelaki tempatan ditahan atas suspek terlibat dalam kes ragut beg tangan seorang wanita.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Bharu ACP Mohd Rosdi Daud, kejadian berlaku pada 13 Julai sekitar 7.28 petang. Mangsa, seorang wanita tempatan, sedang berjalan kaki sebelum beg tangannya diragut oleh seorang lelaki menunggang motosikal Yamaha Ego Gear berwarna merah. Mangsa mengalami kerugian kira-kira RM220.
“Bertindak atas maklumat, pada semalam lebih kurang 9 pagi, Ketua Polis Balai bersama-sama anggota polis Kota Bharu telah membuat tangkapan terhadap seorang lelaki tempatan di daerah ini,“ kata Mohd Rosdi dalam kenyataan hari ini.
Polis turut merampas empat barang bukti berkaitan kes, termasuk motosikal Yamaha Ego Gear merah, sehelai kemeja-T kelabu jenama PDI, dan sehelai seluar panjang hitam bertulisan ‘INDM’. Hasil siasatan lanjut mendapati suspek turut terlibat dalam lima kes ragut lain di daerah Kota Bharu.
Ujian air kencing suspek didapati negatif dadah. Suspek akan dibawa ke Mahkamah Kota Bharu hari ini untuk permohonan reman manakala siasatan masih diteruskan. - Bernama