Your Title

KUALA LUMPUR: Sebanyak 95 program Jualan MADANI Koperasi Usahawan (JMKU) telah dilaksanakan di seluruh negara dengan nilai jualan mencecah RM8.5 juta.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan berkata program bertujuan meringankan beban dan kos sara hidup itu telah memanfaatkan hampir 25,000 usahawan.

Mengenai perbezaan jumlah diskaun diberikan dalam program itu, beliau berkata ia bergantung kepada beberapa faktor termasuk lokasi.

“Di kawasan saya sendiri di Sungai Buloh, jualan MADANI adalah yang termurah di seluruh negara, dengan diskaun 50 peratus, tetapi saya yang menampung kos itu sendiri. Jadi, kalau ingin lebih (diskaun) mungkin kita boleh usahakan daripada peruntukan kita (Ahli Parlimen) sendiri,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) yang ingin tahu mengenai status pelaksanaan JMKU pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Ramanan berkata Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui agensi-agensinya komited memperkasakan gerakan koperasi berdasarkan Pelan Transformasi Koperasi Malaysia (TransKoM) 2021-2025 dan Dasar Koperasi Malaysia (DaKoM) 2030.

Beliau berkata pelbagai perancangan telah dilaksanakan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bagi meningkatkan kejayaan gerakan koperasi termasuk penyediaan kemudahan pembiayaan tanpa cagaran sehingga RM200,000 melalui Tabung Modal Pusingan SKM kepada koperasi yang layak bagi mengembangkan aktiviti perniagaan koperasi.

“KUSKOP juga melaksanakan Program Pembangunan Perniagaan Melalui Koperasi bagi membantu koperasi meningkatkan kapasiti dan keupayaan dalam perniagaan merangkumi pemberian insentif kewangan sehingga RM300,000 kepada koperasi yang layak,” katanya.

Selain itu, Ramanan berkata Institut Koperasi Malaysia (IKMa) menawarkan program latihan dan bimbingan kepada gerakan koperasi dalam aspek kepimpinan, pengurusan kewangan dan keusahawanan.

Beliau menjawab soalan asal Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang) mengenai perancangan kementerian untuk melipatgandakan kejayaan koperasi.