KUCHING: Program Jualan Rahmah MADANI terus menjadi penyelesaian praktikal bagi golongan muda dalam mengurus perbelanjaan harian, terutamanya bagi mereka yang berdepan dengan cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat.
Pengamal media, Asyraf Halim, 34, berkata inisiatif ini membantunya berbelanja dengan lebih bijak. “Saya tinggal bersendirian, jadi setiap penjimatan sangat berharga.
Harga di Jualan Rahmah jauh lebih murah berbanding pasar raya biasa,” katanya ketika ditemui di Festival Maal Hijrah 2025 di Masjid Negeri Sarawak.
Festival ini dianjurkan oleh Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LKMNS) dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Petugas LKMNS, Ismasuzilla Bahari, 28, turut berkongsi pengalaman positif. “Sebelum ini, saya belanja RM1,000 sebulan untuk keperluan keluarga lima orang.
Sekarang, saya boleh jimat RM300 hingga RM400,” katanya.
Zulhilmi Alet, 31, seorang penolong pegawai di Kementerian Belia dan Sukan, menyatakan bahawa Jualan Rahmah membantunya mengurus perbelanjaan untuk ibu bapa dan keluarga mentua.
“Ini sangat membantu terutamanya bagi golongan B40,” ujarnya.
Program ini mendapat sambutan hangat dengan orang ramai membanjiri reruai sejak dibuka pada pukul 8 pagi.
Jualan Rahmah MADANI merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan di bawah Belanjawan 2025 untuk meringankan beban rakyat dan menyokong peruncit tempatan.