KOTA KINABALU: Bilangan pegawai kerja sosial perubatan (PKSP) di Sabah tidak mencukupi untuk menangani masalah pesakit yang memerlukan intervensi lanjut bagi mencapai kefungsian sosial optimum, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata Sabah hanya mempunyai 28 PKSP yang berkhidmat di seluruh negeri merangkumi hospital, hospital pakar utama dan minor, hospital tanpa pakar serta hospital institusi.

Hajiji berkata Sabah adalah sebuah negeri yang besar justeru, penduduk di pedalaman khususnya berdepan beberapa halangan dalam kebolehcapaian perkhidmatan kesihatan disebabkan faktor geografi, kemudahan pengangkutan dan keadaan sosioekonomi keluarga.

“Hanya terdapat 28 PKSP bagi mengendalikan kes-kes yang dirujuk untuk bantuan psikososial dan kewangan bagi pembelian peralatan dalam memenuhi keperluan rawatan.

“Sudah tentu jumlah ini tidak mencukupi,“ katanya ketika merasmikan Persidangan PKSP Malaysia ke-27 yang bertema ‘Keharmonian Hidup: Transformasi Masa Depan Bersama’ di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun.

Hajiji berkata kos perubatan yang semakin meningkat secara langsung memberi kesan besar kepada kemampuan rakyat mendapatkan rawatan kesihatan sekali gus menyaksikan jumlah pesakit di hospital kerajaan semakin bertambah dan situasi ini akan menambahkan lagi cabaran kepada warga kesihatan untuk menyediakan perkhidmatan berkesan serta menyeluruh.

Justeru itu, beliau berkata perkhidmatan kerja sosial perubatan menjadi amat signifikan bagi memenuhi keperluan pesakit yang semakin kompleks dan dinamik sejajar dengan aspirasi reformasi kesihatan negara ke arah sistem kesihatan saksama serta berpaksikan rakyat.

“PKSP memainkan peranan membina jaringan kerjasama dengan agensi kerajaan dan swasta yang menyediakan sumber bantuan bagi membantu pesakit miskin serta tidak berkemampuan semasa menerima rawatan atau pemulihan,“ katanya.

Hajiji berkata PKSP turut berperanan membantu pesakit mencapai kesihatan lebih baik melalui sistem penyampaian perkhidmatan berkualiti tinggi oleh itu, penggunaan teknologi terkini perlu selaras dengan perkembangan semasa dalam memberi perkhidmatan kepada mereka.

Beliau juga berharap PKSP sentiasa komited meneroka sumber baharu bagi memenuhi keperluan pesakit secara holistik dari segenap segi dalam proses mentransformasi penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada semua lapisan rakyat.