ISTANBUL: Kerajaan tentera Myanmar mengkritik resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkaitan buruh yang diluluskan terhadapnya, menyifatkan langkah itu sebagai bermotif politik dan tidak berkesan, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Dalam satu kenyataan pada Sabtu, Kementerian Buruh junta itu berkata keputusan berkenaan tidak akan memberi kesan kepada majikan, pekerja atau perniagaan di Myanmar.
Resolusi itu diluluskan pada Khamis semasa Sesi ke-113 Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) di Geneva.
Ia merupakan kali ketiga ILO menggunakan Artikel 33 Perlembagaannya.
Menurut Konfederasi Kesatuan Sekerja Antarabangsa-Asia Pasifik (ITUC-AP), Artikel 33 pertama kali digunakan terhadap Myanmar pada 2000 dan sekali lagi terhadap Belarus pada 2023.
ILO menggesa kerajaan, majikan dan pekerja agar mengelak daripada sebarang urusan yang boleh menyokong atau memanjangkan pelanggaran hak buruh, khususnya buruh paksa dan penindasan aktiviti kesatuan sekerja.
Organisasi itu turut meminta kajian semula terhadap sebarang aktiviti yang boleh menyumbang kepada pelanggaran itu, termasuk pembekalan peralatan ketenteraan atau bahan api jet, serta pemindahan dana kepada pihak berkuasa tentera.
Selain itu, ILO juga menggalakkan pihak berkepentingan untuk melaporkan sebarang penemuan yang menunjukkan penglibatan secara langsung atau tidak langsung dalam buruh paksa atau pelanggaran kebebasan berpersatuan.
Sementara itu, Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) Myanmar yang mewakili pihak pembangkang menyambut baik resolusi itu, menyifatkannya sebagai satu “kemenangan” untuk rakyat.
“Keputusan ILO ini adalah kemenangan bagi rakyat Myanmar, hasil daripada ketabahan bertahun-tahun menentang peluru tentera, pelbagai bentuk penindasan, keganasan seksual terhadap wanita, serta serangan udara yang menyasarkan orang awam dan sekolah,” kata NUG.
NUG berkata bahawa keputusan itu menonjolkan tindakan junta tentera kepada masyarakat antarabangsa.