KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekalkan keputusan membebaskan seorang jurulatih perunding insurans daripada satu pertuduhan menipu dan 25 pertuduhan pengubahan wang haram, melibatkan wang berjumlah lebih RM1.8 juta pada 2018.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas menolak rayuan pendakwa raya selaku perayu, untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen pada 10 Mac 2023 yang melepas dan membebaskan Zuriati Mohamed Yusoff, 51, sebagai responden, daripada pertuduhan itu.

Dalam penghakimannya hakim itu berkata pembelaan responden yang menyatakan wang RM1,849,719.75 bukan untuk pembelian polisi insurans pengadu iaitu saksi pendakwaan kelima (SP5), tetapi bayaran balik wang yang didahulukan SP6 (suami Zuriati) dalam perdagangan emas seperti arahan SP1 (penasihat kewangan SP5), telah menimbulkan satu keraguan munasabah dalam kes pendakwaan.

“Pendakwaan gagal membuktikan responden (Zuriati) telah memperdaya SP5. Oleh itu, pendakwaan gagal membuktikan kesalahan predikat (menipu) terbabit,” katanya pada prosiding keputusan itu yang turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Halijah Mohd Khalid dan peguam Nur Shafiqa Balqish Jaffri mewakili Zuriati.

Selain itu, Hakim Muhammad Jamil berkata oleh kerana tiada kesalahan predikat, tidak mungkin wang itu hasil daripada aktiviti haram yang perlakuan aktiviti haram itu tidak dibuktikan.

“Tiada alasan mencukupi untuk mahkamah ini mengganggu keputusan hakim bicara yang melepas dan membebaskan responden di akhir perbicaraan. Oleh itu, rayuan pendakwa raya ditolak dan keputusan hakim bicara dikekalkan,” katanya.

Zuriati didakwa menipu seorang lelaki dengan memperdayakannya dalam urusan pembelian enam polisi insurans yang tidak wujud, sehingga mendorong mangsa memberi wang RM1,849,719.75 di sebuah premis di Jalan Raja Chulan di sini, pada 21 Mei 2018.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dengan sebatan dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Bagi kesalahan pengubahan wang haram, wanita itu sebagai bekas pengarah syarikat Millionaire Synergy Sdn Bhd, didakwa menerima wang berjumlah RM1,849,719.75 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Bagi empat pertuduhan, Zuriati didakwa menggunakan wang antara RM20,000 hingga RM90,000 melalui empat cek berbeza sebagai bayaran kepada diri sendiri dan seorang lagi individu yang lain, manakala untuk 20 lagi pertuduhan wanita itu didakwa memindahkan wang berjumlah RM10,000 hingga RM435,080 kepada diri sendiri, sebuah syarikat dan seramai 17 individu berasingan.

Kesemua kesalahan itu yang didakwa dilakukan antara 21 Mei hingga 6 Julai 2018 di sebuah cawangan bank tempatan di Kota Damansara, Petaling Jaya, dituduh mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara maksimum 15 tahun serta denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi.