KUALA LUMPUR: Walaupun hanya sebesar ibu jari, kereta miniatur berskala 1:64 hasil tangan Mohd Jaidin Mustafa menampilkan perincian yang cukup halus dan memukau, seakan kereta sebenar yang dikecilkan.
Untuk menghasilkan karya sedemikian, juruteknik mesin cetak berusia 40 tahun itu akan menghabiskan waktu malam di dalam sebuah bilik di rumahnya bertemankan berus, kanta pembesar dan cat akrilik bagi mewarnakan badan kereta miniatur termasuk lambang, rim, tayar, ekzos, dan paling rumit seperti lampu dan garisan pintu kereta.
Bermula secara serius pada 2020, Mohd Jaidin menggunakan kereta miniatur jenama Hot Wheels sebagai asas sebelum beralih kepada kereta miniatur yang diperbuat daripada resin, sejenis bahan plastik khas dihasilkan melalui cetakan 3D.
Menurutnya, badan kereta miniatur material resin itu ditempah daripada dua pereka tempatan sebelum beliau lakukan kemasan dengan sapuan cat bagi menonjolkan perincian halus pada sesebuah model kereta agar menyerupai kereta sebenar.
“Pada peringkat awal dulu saya hanya guna tin semburan cat. Namun, apabila tengok customizer dari Thailand buat detailing (kemasan) halus secara manual, saya terus terpikat. Mereka lukis sendiri garisan pintu, lampu dan emblem (lambang) kereta dengan tangan,” katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya di Kampung Changkat, Gombak di sini baru-baru ini.
Katanya, sejak itu beliau belajar sendiri dan berlatih sehingga dapat menguasai kemahiran tersebut.
Ketelitian dan kekemasan kerja tangannya menjadikan kereta miniatur yang dihasilkan Mohd Jaidin diminati oleh pengumpul dari dalam dan luar negara termasuk Amerika Syarikat, Jerman, United Kingdom dan Singapura dengan lebih 800 unit telah terjual setakat ini.
Menurutnya, beliau menerima banyak tempahan istimewa daripada pelanggan yang mahu menghadiahkan kereta miniatur kepada pasangan mereka, termasuk sebagai kejutan hari jadi atau kenangan perkahwinan.
Selain tempahan model kereta ikonik seperti Toyota Sprinter Trueno AE86, Nissan Skyline GTR R34 dan Volkswagen Golf Mk7, beliau turut menerima permintaan untuk model kereta miniatur jenama tempatan antaranya Perodua Myvi, Proton Wira, Proton Satria Neo dan Proton X50 yang direka mengikut cita rasa pelanggannya.
Dijual pada harga permulaan RM250 seunit bergantung pada tahap kesukaran dan ketelitian, Mohd Jaidin mampu menghasilkan sekitar 20 unit sebulan dengan setiap satu mengambil masa kira-kira dua hari untuk disiapkan.
Mengulas lanjut, lelaki itu berkata kereta miniatur yang diperbuat daripada resin boleh dimanipulasi dengan lebih realistik, terutama dari segi bentuk lampu, spoiler, cermin sisi dan garisan pintu berbanding kereta miniatur seperti Hot Wheels yang berasaskan besi.
Namun bapa kepada tiga orang anak itu berkata kekuatan sebenar produk buatannya bukan terletak pada bahan, tetapi kehalusan perincian.
“Saya bukan jual ‘model’ (kereta), saya jual hasil tangan. Ramai boleh buat cetakan 3D, tapi tidak ramai yang boleh lukis tangan sampai nampak seperti nyata. Itu yang memberi nilai sebenar kepada karya saya,” katanya yang menggunakan nama akaun media sosial, jdm164_custom.
Menyentuh teknik kemasan, Mohd Jaidin berkata beliau akan memulakannya dengan menggosok bahagian yang tidak rata pada kereta miniatur dengan kertas pasir sebelum proses menyembur cat primer, cat asas dan menggunakan masking tape bagi penyemburan cat di bahagian halus dan rumit.
“Kemudian, barulah kita buat kemasan di bahagian kecil kereta seperti lampu, gril, signal dan cakera brek, dan akhir sekali semburan 2K clear coat (lapisan pelindung) bagi memastikan cat tahan lama, tampil kemas serta berkilat,” katanya- BERNAMA