• 2025-08-08 03:46 PM

CHUKAI: Polis mengesahkan seorang jurutera kerugian RM114,000 selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan dalam talian yang menyamar sebagai pegawai polis dari Bukit Aman pada 5 Ogos lepas.

Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Mohd Razi Rosli berkata lelaki berusia 31 tahun itu menerima panggilan telefon daripada suspek yang mendakwa dia terlibat dalam sindiket keldai akaun.

Beliau berkata suspek mengarahkan mangsa membuat sejumlah pembayaran bagi mengelak ditangkap dan membersihkan namanya.

Mangsa yang panik telah membuat lima kali pembayaran berjumlah RM114,000 ke empat akaun berbeza dalam tempoh dua hari seperti diarahkan suspek.

“Mangsa menyedari ditipu selepas usaha menghubungi suspek gagal. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini. - Bernama