GEORGE TOWN: Kadar cukai tanah baharu di Pulau Pinang dijadualkan berkuat kuasa mulai 1 Jan 2026, namun cadangan kadar masih belum dimuktamadkan oleh pihak berkuasa negeri, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.
Beliau berkata Pejabat Tanah dan Galian serta semua pejabat tanah sedang menjalankan semakan semula kadar cukai itu pada semua hak milik berdaftar dan proses berkenaan melibatkan 373,109 hak milik tanah di seluruh negeri, dengan dijangka berterusan sehingga penghujung tahun ini.
“Pentadbiran ini juga mencadangkan beberapa opsyen kadar cukai baharu untuk dipertimbangkan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK), namun MMK masih memerlukan beberapa penelitian sebelum meluluskan kadar cukai baharu,” katanya
Beliau menjawab dalam jawapan bertulis bagi pertanyaan Lee Boon Heng (PH-Kebun Bunga) mengenai peringkat mengkaji semula kadar cukai tanah di negeri itu dan sama ada kadar baharu cukai tanah dapat dilaksanakan pada tahun depan.
Chow yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kewangan, Pembangunan Ekonomi, Tanah dan Komunikasi negeri berkata tanah berstatus First Grade akan terlibat dalam semakan semula kadar cukai tanah dan terdapat 197,412 hak milik tanah berstatus First Grade di Pulau Pinang, mewakili 52.35 peratus daripada jumlah keseluruhan hak milik tanah.
“Pada masa ini, tanah berstatus First Grade dikenakan kadar cukai berdasarkan kegunaannya, namun kadar cukai semasa dianggap tidak mencerminkan nilai sebenar menyebabkan ketirisan hasil negeri,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Chow berkata Lembaga Pengarah Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) telah meluluskan pemberian ganjaran prestasi bersamaan lima bulan gaji berdasarkan Kad Skor Seimbang (BSC) yang merekodkan pencapaian cemerlang sepanjang 2024.
Beliau berkata ia melebihi sasaran yang ditetapkan iaitu sebanyak 85 peratus dan hanya 25 peratus daripada kakitangan PDC menerima bonus tertinggi enam bulan.
“Justifikasi bagi pemberian ganjaran prestasi adalah berdasarkan kepada penilaian termasuk pencapaian prestasi keuntungan sebelum cukai dan zakat tahun lepas berjumlah RM527.1 juta berbanding 2023 iaitu RM276.6 juta, paling tinggi dengan peningkatan 91 peratus.
“Pencapaian prestasi sebenar keseluruhan bajet yang cemerlang iaitu 104 peratus (hasil) dan 96 peratus (belanja) dan penjimatan faedah daripada bayaran awal pinjaman dijangka RM8.6 juta,” katanya.
Chow menegaskan walaupun PDC dilaporkan terlibat dengan beberapa projek kontroversi penjualan tanah dan projek pembinaan yang masih belum siap, perkara itu juga telah dinilai semasa keputusan dibuat dan tindakan susulan dilaksanakan oleh pihak pengurusan PDC bagi memulihkan pelaksanaan projek-projek berkenaan agar berjalan seperti yang dirancangkan.
Terdahulu, Lim Guan Eng (DAP-Air Putih) yang juga bekas ketua menteri meminta penjelasan mengenai rasionalisasi anggota pentadbiran PDC diberikan bonus enam bulan, yang tidak diberikan kepada agensi kerajaan negeri lain.