SEREMBAN: Seorang kakitangan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Sembilan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 13 pertuduhan menerima suapan berjumlah RM58,720 sejak 2020 hingga tahun lepas.

Mashitah Abdul Rahim, 39, membuat pengakuan itu sebaik sahaja semua pertuduhan itu dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Penolong Pegawai Perhubungan Perusahaan di JTK Seremban itu dituduh menerima rasuah berjumlah RM58,720 menerusi pindahan wang tunai dan secara dalam talian daripada 12 individu yang merupakan bekas pekerja, pengurus dan pengarah syarikat.

Ia sebagai dorongan untuk tidak melakukan tindakan penguatkuasaan berkait kes tuntutan, dan semua kesalahan itu dilakukan di pejabat JTK Seremban, Wisma Persekutuan antara Dis 2020 dan 25 April 2023.

Dia didakwa di bawah Seksyen 16(a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa raya SPRM Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali, manakala Mashitah diwakili peguam HM Lavanesh.

Terdahulu Mohd Azriff Firdaus memohon mahkamah mengenakan jaminan berjumlah RM20,000 dengan syarat tambahan perlu melapor diri di pejabat SPRM terdekat setiap bulan dan pasport disimpan mahkamah sehingga kes selesai.

Bagaimanapun Lavanesh memohon mahkamah mengenakan wang jaminan RM5,000 atas alasan gaji anak guamnya yang bekerja di JTK sejak 2009 telah dipotong 50 peratus bermula Ogos tahun lepas selain sedang mendapatkan rawatan akibat mempunyai masalah berkaitan jantung.

“Gaji beliau turut digunakan untuk rawatan berkenaan. Selain itu beliau juga memberikan kerjasama yang baik terhadap SPRM sepanjang kes ini,” katanya.

Meor Sulaiman kemudian memerintahkan Mashitah dikenakan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan perlu melapor diri di Pejabat SPRM Seremban Sabtu pertama setiap bulan, dan pasport disimpan mahkamah sehingga kes selesai, selain menetapkan 12 Ogos untuk sebutan semula kes.