KOTA BHARU: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menjangkakan tiga skop projek utama pembangunan Kampung Angkat MADANI di Kampung Aril di Melor di sini siap penghujung tahun ini.

Ketua Setiausahanya Datuk Dr Ching Thoo Kim berkata tiga projek utama itu antara 13 projek pembangunan yang dilaksanakan menerusi tujuh jabatan dan agensi di bawah NRES.

“Projek ini melibatkan penambahbaikan dan naik taraf pembangunan di Kampung Aril melibatkan Rumah Ibadat Hijau, pembinaan telaga tiub dan tempat pengumpulan buangan e-waste serta 3R (Reduce, Reuse, Recycle).

“Projek telaga tiub melibatkan kos RM302,000 bagi 10 unit telaga cetek dan satu unit telaga sedalam 100 meter (m) di 10 lokasi, penggerudian telaga tiub cetek (kurang 30 meter) berserta pemasangan pam centrifugal dan menjalankan penilaian sumber air bawah tanah,“ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Program Kampung Angkat MADANI NRES di Kampung Aril, Melor di sini hari ini.

Ching berkata pembinaan telaga tiub penting untuk sumber air bawah tanah secara berterusan bagi kegunaan domestik di 10 lokasi terpilih merangkumi kawasan tumpuan masyarakat dan komuniti.

Beliau berkata sumber bekalan air bawah tanah itu boleh dimanfaatkan bagi tujuan domestik terutama semasa musim kemarau.

Bagi projek di klinik desa, pembangunan melibatkan kerja-kerja mereka bentuk, pemasangan dan membekal pondok atau tempat pengumpulan buangan e-waste serta 3R dengan kos RM90,000.

“Program Rumah Ibadat Hijau pula sudah siap 80 peratus melibatkan kos RM200,000 untuk pemasangan sistem solar, penyaman udara dan lampu cekap tenaga, sistem pengumpulan air hujan (SPAH) VIII serta pili cekap air,“ katanya.