KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun mengalami kecederaan di betis kiri selepas digigit seekor anjing ketika dalam perjalanan pulang dari taman permainan di Lake Edge Puchong. Kejadian berlaku pagi semalam ketika mangsa berjalan bersama neneknya.
Menurut Ketua Polis Daerah Serdang ACP Muhamad Farid Ahmad, anjing jenis kacukan German Shepard itu dipercayai terlepas dari rumah pemiliknya sebelum menyerang mangsa secara tiba-tiba. “Siasatan awal mendapati pemilik anjing tidak memiliki lesen sah daripada pihak berkuasa tempatan,“ katanya.
Seorang wanita berusia 60 tahun yang merupakan pemilik anjing telah ditahan hari ini bagi membantu siasatan. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 289 Kanun Keseksaan kerana kecuaian berkaitan haiwan peliharaan. Jika sabit kesalahan, hukuman maksimum ialah penjara enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.
Muhamad Farid menasihati pemilik haiwan peliharaan supaya memastikan haiwan mereka terkawal bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.