DHAKA: Ketua Penasihat Kerajaan Sementara Bangladesh Dr Muhammad Yunus memberi amaran pada Khamis bahawa ribuan golongan muda Rohingya yang membesar di kem pelarian semakin kecewa dan marah susulan kebuntuan berpanjangan mengenai proses penghantaran pulang mereka, lapor Anadolu Ajansi (AA).
“Ia adalah situasi yang menyedihkan. Ribuan anak muda membesar di kem tanpa sebarang harapan.
“Mereka semakin kecewa dan marah,” kata penerima Hadiah Nobel itu semasa pertemuan dengan Naib Presiden Kanan Eksekutif Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) Miyazaki Katsura di Dhaka.
Bangladesh telah menempatkan lebih 1.3 juta pelarian Rohingya sejak mereka melarikan diri daripada tindakan keras tentera di Negeri Rakhine, Myanmar pada Ogos 2017.
Walaupun pelbagai usaha antarabangsa telah dijalankan, tiada penghantaran pulang secara rasmi yang berlaku setakat ini.
Kenyataan daripada pejabat Yunus memaklumkan beliau menyuarakan kebimbangan mengenai situasi pelarian itu dan menggesa Jepun memperkukuh kerjasama dengan Bangladesh dalam bidang pelaburan, perikanan, respons kemanusiaan Rohingya dan pembangunan belia, termasuk pendidikan dan sukan.
Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Bangladesh pada Khamis berkata hujan monsun berterusan melanda kem pelarian Rohingya di Cox’s Bazar, tempat kebanyakan pelarian ditempatkan.
Agensi itu memaklumkan lebih 2,930 orang terjejas dan lebih 435 tempat perlindungan telah rosak sebahagiannya dalam tempoh dua minggu lepas.