• 2025-07-19 05:41 PM

SHAH ALAM: Polis mengesahkan lokasi dua kanak-kanak lelaki ditemukan lemas berhampiran Jalan Cili Merah, Seksyen 24 semalam adalah kawasan air bertakung di tapak projek mitigasi banjir Sungai Klang.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata saksi menyatakan mangsa berusia sembilan dan 12 tahun itu dipercayai mandi di kawasan tersebut sebelum kejadian.

“Polis menerima maklumat kejadian pada pukul 8.50 malam daripada orang awam. Pemeriksaan mendapati tiada kesan pergelutan atau kecederaan lain pada badan mangsa,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat. Kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

Mohd Iqbal meminta sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Mohd Fildza Che Ibrahim di talian 016-9537372.

Semalam, kedua-dua kanak-kanak ditemukan tidak sedarkan diri di lokasi kejadian sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM). - Bernama