KUALA LUMPUR: Kanak-kanak perempuan yang disahkan mati otak selepas disyaki terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan ketika menunggang basikal di Kuang, Khamis lepas meninggal dunia pada 10 pagi tadi selepas beberapa hari menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh dekat sini.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata pihaknya menerima laporan berhubung kematian mangsa daripada keluarganya pada 2.11 petang tadi.
“Pihak hospital mengesahkan kematian mangsa pada 10 pagi dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,“ katanya dalam kenyataan.
Terdahulu Mohd Hafiz berkata mangsa dipercayai terjatuh sendiri akibat kaki seluar tersangkut pada rantai basikal dalam kejadian itu.
Hal itu katanya berdasarkan keterangan lima orang saksi kejadian iaitu dua daripada mereka pergi membantu mangsa selepas melihat kanak-kanak itu terjatuh di atas jalan raya.
Beliau berkata pemeriksaan terhadap basikal yang ditunggang mangsa berusia 10 tahun itu juga mendapati tiada kesan pelanggaran dengan kenderaan lain.
“Keterangan berkenaan juga selari dengan kesan koyak dan minyak rantai yang terdapat pada seluar yang dipakai oleh mangsa semasa kejadian dan hasil siasatan juga telah dimaklumkan kepada keluarga mangsa.
“Kejadian berlaku semasa mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah dari kedai runcit kira-kira 200 meter dari kawasan sekolah di Jalan Stesen Kuang,“ katanya.