• 2025-08-15 07:57 PM

GEORGE TOWN: Datuk Karunanithy Y. Subbiah dilantik secara rasmi sebagai Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang hari ini.

Beliau menggantikan Datuk Mohd Fuad Bee Basrah yang kini mengetuai SPRM Sabah.

SPRM Pulau Pinang dalam kenyataan memaklumkan majlis serah terima tugas berlangsung di pejabat agensi itu di sini.

Majlis itu disaksikan oleh Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM Datuk Saiful Ezral Arifin.

Dalam ucapannya, Mohd Fuad menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga SPRM Pulau Pinang atas komitmen dan sokongan sepanjang beliau memimpin jabatan itu.

Beliau turut menyatakan pencapaian membanggakan pada 2024 dan 2025 dalam sektor operasi, pencegahan dan pengurusan.

Mohd Fuad menyifatkan setiap kejayaan adalah hasil kepimpinan berpasukan serta sokongan padu pengurusan tertinggi SPRM.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pengarah bahagian dan negeri, pegawai serta kakitangan SPRM di seluruh negara.

Majlis turut dihadiri Timbalan Pengarah Kastam Pulau Pinang Maznan Harron.

Hadir sama Pengarah Khidmat Pengurusan Majlis Bandaraya Pulau Pinang Azman Sirun.

Ketua Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia Pulau Pinang Ahmad Fitri Ahmad Rabudzi turut hadir.

Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Kontinjen Pulau Pinang ACP Ganesan Chinapan juga berada di majlis tersebut- Bernama