• 2025-10-21 03:55 PM

KOTA BHARU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia Kelantan merampas 47 unit kenderaan tidak bercukai membabitkan nilai lebih RM6.2 juta termasuk cukai.

Rampasan dilakukan dari Januari hingga 16 Oktober lepas melibatkan pelbagai jenis kenderaan mewah.

Pengarah JKDM Kelantan Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata kenderaan tersebut dipercayai dibawa masuk dari negara jiran tanpa melalui prosedur cukai sah.

“Rampasan ini dilakukan di Kelantan, selain Kuala Lumpur dan Johor, menerusi pelbagai operasi dan risikan termasuk di kawasan sempadan,“ katanya.

Antara kenderaan yang dirampas termasuk Volkswagen Beetle, Volvo S80, BMW 325i, Maserati Ghibli, Honda Jazz, Toyota Vellfire dan Mercedes Benz.

Kenderaan tersebut dijual pada harga serendah RM53,000 sehingga RM185,000 dengan harga 35% hingga 40% lebih murah berbanding pasaran.

Wan Jamal berkata sindiket menggunakan pelbagai kaedah termasuk pengiklanan di media sosial untuk mendapatkan pelanggan.

“Kenderaan tidak mematuhi prosedur pengimportan kerana tiada permit dan dokumen sah,“ jelasnya.

Rampasan kenderaan tidak bercukai itu disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. – Bernama